Bismillahirrahmanirrahim. Wabihi nasta’inubillahi ta’ala inilah peri hikayat nabi Allah bercukur bermula barangsiapa membaca dia atau mendengarkan dia daripada permulaan datang kepada kesudahannya nescaya diampun oleh Allah subhanahuwataala segala dosa hatta pada segala waktu. Maka datanglah seorang daripada kaum sahabat nabi Allah. Maka dia pun bertanya kepada Abu Bakar Sadiq Radiallahu anhu bertanya apalah kiranya peri kemuliaan mukjizat nabi Allah bercukur itu. Di hadapan siapa nabi Allah bercukur itu dan kopiah daripada mana akan dipakai nabi Allah bercukur itu dan berapa tahun lamanya sudah nabi Allah bercukur. Maka ujar Abu Bakar al-Siddiq radiallahuanhu demikian bunyinya, “Hai mukmin yang percaya akan Allah, jika tuan hamba hendak mendengar peri kemuliaan mukjizat nabi Allah bercukur itu baiklah, hamba ceterakan kepada tuan hamba”.
Adapun tatkala nabi Allah bercukur itu waktu Rasulullah kembali daripada perang dengan Raja Lahud pada sembilan hari bulan Ramadhan hari isnin tatkala membaca Quran pada ketika itu ia turun dibawa oleh Jibril kepada nabi demikian muhalliqunarausikumuilaihi telah itu dibaca Rasulullah maka nabi berfikir lalu mendengar bunyinya ayat itu yang dibawa oleh Jibril maka ujarnya “Ya nabi Allah, bahawa Allah subhanahu wa ta’ala menilik pada Quran al-Majid menyuruhkan tuan hamba ini bercukur”. Setelah dengar oleh nabi Allah kata Jibril yang demikian itu. Maka sabda Rasulullah kepada Jibril, “yang tuanku Jibril mahulah hamba bercukur jika demikian dengan firman Allah ta’ala”. Maka sabda Rasulullah sallallah alaihi wassallam “Ya tuanku Jibril jika hamba bercukur itu dihadapan siapalah hamba bercukur itu dan siapalah yang mencukur hamba ini dan kopiah dari mana yang hamba pakai itu maka sudah bercukur”.
Setelah didengar oleh Jibril yang demikian itu. Maka Jibril munajatlah kepada hadrat Allah subhanahu wa ta’ala demikian bunyinya “Ya Rabbi ya Sayidi ya Tuhanku engkau jualah yang amat mengetahui bahawa ia kekasihmu Muhammad itu setelah redhalah ia bercukur dengan firmanmu akan tetapi sembah kekasihmu kehadratmu, di hadapan siapa kekasihmu bercukur itu dan siapa yang mencukur kekasihmu itu dan kopiah dari mana akan dipakai kekasihmu itu ya tuhanku”. Maka firman Allah ta’ala kepada Jibril “adapun kekasihku itu bercukur di hadapan cahaya dirinya jua kerana ia cahaya nabi-nabi dan yang mencukur kekasihku itu engkau Jibril dengan firmanku dan kopiah yang akan dipakai kekasihku jika sudah bercukur ambil olehmu daun kayu Tuba yang amat hijau warnanya di dalam syurga, perbuat olehmu akan kopiah kekasihku daripada nugerahku”. Setelah didengar oleh Jibril firman Allah ta’ala demikian itu, maka Jibri pun menyerulah malaikat Ridhuan seraya katanya bukakan olehmu pintu syurga ini. Maka sahut oleh Ridhuan, siapa yang di luar pintu syurga ini, maka sahut Jibril, kerana aku disuruh Allah subhanahu wa taala akan mengambil daun Tuba akan kopiah baginda Rasulullah sallallah alaihi wassallam serta memanggil anak-anakkan bidadari akan rambut nabi Allah kerana ia akan bercukur. Maka malaikat Ridhuan pun segeralah ia membuka pintu syurga, maka Jibril pun masuklah ke dalam syurga itu. Maka diambilnya daun kayu Tuba itu diperbuatkan oleh Jibril akan kopiah nabi Allah.
Telah sudah maka dibawa kopiah itu kepada Rasulullah sallallah alaihi wassallam. bermula cahaya kopiah itu terlalu gilang-gemilang, kilau-kilauan dan terlebih pula daripada cahaya matahari dan bulan purnama empat belas hari. Maka nabi Allah pun bersabda kepada Jibril “siapakah yang mencukur hamba dan di hadapan siapa hamba bercukur itu dan kopiah dari mana yang akan hamba pakai bercukur itu” setelah didengar oleh Jibril sabda Rasulullah yang demikian itu, maka kata Jibril “Ya nabi Allah hambalah yang mencukur tuan hamba dengan firman Allah subhanahu wa ta’ala dan lagi dihadapan cahaya tuan hamba itu cahaya segala nabi-nabi”. Setelah sudah demikian itu, maka nabi Allah pun menyerahkan kepalanya yang mulia itu menyuruh menyukurkan Jibril. Maka dicukurkan oleh malaikat Jibril kepada Rasulullah sallallah alaihi wassallam pada sembilan belas hari bulan Ramadhan pada hari isnin, maka keempat sahabat nabi hadirlah mengadap kepada Rasulullah waktu bercukur itu. Maka firman Allah ta’ala menitahkan segala anak bidadari “Hai anak-anakan bidadari keluarlah engkau sekalian dari dalam syurga, pergilah engkau segera turun ke dunia mengambil rambut kekasihku yang dicukur oleh Jibril dan sehelai rambutnya pun janganlah gugur ke bumi. Ambillah olehmu sehelai seorang akan mukjizat, ikatkanlah pada lengan kamu yang kanan supaya kuampuni sekelian dosa kamu”. Bersabda Rasulullah kepada Jibril “Ya Jibril, hikmat apakah dia ini maka rambut hamba sehelai jua pun tiada gugur ke bumi. Maka ujar Jibril “Ya nabi Allah kerana segala anak-anak bidadari titahkan oleh Allah subhanahu wa ta’ala turun ke dunia mengambil rambut tuan hamba ini sehelai seorang jua pun tiadalah sampai peri kebaikan anak bidadari itu adapun banyak rambut tuan hamba itu, sakti dua laksa enam ribu enam ratus enam puluh enam helai demikianlah banyaknya anak-anakkan bidadari”. Setelah didengar oleh nabi Allah kata Jibril demikian itu, maka nabi Allah diamlah. Maka turunlah firman Allah subnahu wa ta’ala kepada nabi Allah “Hai kekasihku, barangsiapa menaruh peri ‘Hikayat Kekasihku Bercukur’ itu, maka kulepaskan dia daripada segala bahaya dunia dan akhirat dan sakratulmaut akan mengambil nyawa dan sopannya jua dan lagi pula terpelihara daripada soal Mungkar dan Nakir. Maka sabda Rasulullah “ barangsiapa tida menaruh peri ‘hikayatku bercukur’ ini, maka orang itulah bukan umatku dan bukan ia daripada umatku dan aku pun bukan nabinya, dan barangsiapa menaruh periku bercukur ini, itulah umatku dan kekasihku dan lagi barangsiapa umatku minta taruhkan baik-baik , jangan diberikan seuratku bercukur ini pada orang yang jahil dan orang yang hina pun dan bahawa kamu war-warkan pada orang mukmin dan lagi hendaklah kiranya kamu berikan kepada suatu rumah mana suatu dusun kepada suatu dusun dan kepada suatu kampung kepada suatu kampung supaya diampuni Allah ta’ala segala dosanya dan barangsiapa menaruh periku bercukur ini, maka Allah ta’ala menurunkan rahmat-Nya dibalas rumah kamu berpuluh amal dan beberapa rezeki. Maka kamu pelihara baik-baik di dalam rumah kamu tiada kurang rezeki dinugerahi Allah ta’ala dan dipeliharakan Allah ta’ala daripada bahaya dan bencana orang dengki pun tiada sampai dan pencuri tiada dapat masuk rumah kamu dan jikalau kamu tidur sekalipun terkejut daripada tidurnya dan pada orang yang pekerjaan, selamat dan jika seterus sekalian habis binasa dan barang ke mana pergi beroleh selamat diberi Allah Azzawajalla dan jikalau berperang beroleh kemenangan dan segala senjata serunya tiada dapat mengenai dia daripada berkat periku bercukur ini dan jikalau ia diwaris sekalipun hendaklah ia hadir pada rumahnya barangsiapa berdayakan padanya, nescaya ia bertambah rahmat Allah turun pada rumahnya berkat periku bercukur rahmat Allah ta’ala selaksa sekali turun pada rumahnya pada sehari-hari jua adanya”.‘Wasallallahu ala hoiru holqahu muhammadun wa’alihi ajmain..amin’tamat.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar